Kuala Lumpur - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran
bagi mengesan kehilangan penerbangan MH370 Malaysia Airlines
(MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang memasuki hari keempat,
setakat ini masih gagal menemui sebarang petunjuk berkaitan pesawat
yang membawa 239 orang itu.
Misi SAR bagi mengesan pesawat Boeing B777-200ER yang hilang dari
skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan itu, diperluas ke
barat daya semenanjung sehingga perairan Selat Melaka.
Setakat ini, jumlah aset yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat
meningkat kepada 42 kapal laut dan 35 pesawat dari Angkatan Tentera Malaysia
serta angkatan tentera asing dari negara China, Amerika Syarikat, Vietnam,
Thailand, Indonesia, Singapura, New Zealand dan Australia.
Malaysia menggerakkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua
helikopter Augusta selain sembilan kapal laut iaitu enam dari Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) serta tiga dari Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM).
Qatar turut menawarkan bantuan kepada Malaysia bagi mengesan pesawat itu
yang hilang sejak awal pagi Sabtu.
Selain itu, Persatuan Nelayan Kuala Kedah menggunakan peralatan teknologi
sonar yang terdapat dalam bot mereka bagi membantu mengesan pesawat milik
MAS itu atau objek berkaitan dalam laut.
Lebih 30 bot nelayan yang beroperasi di zon C dan C2 Selat Melaka di Kedah
dan Perlis diminta membantu mengesan pesawat itu, kata Timbalan Pengurus
Besar persatuan itu Mohd Sam Mohd Zuki.
Beliau berkata selain Sistem Kedudukan Global (GPS), peralatan sonar yang
mampu mengesan objek di dasar laut juga boleh mengesan haba atau tindak
balas arus udara panas pesawat berkenaan.sumber