Sepang - Maklumat yang dipadamkan dalam simulator milik juruterbang
Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac, Kapten Zaharie Ahmad
Shah adalah data log daripada tiga jenis permainan penerbangan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hasil siasatan awal
mendapati data log daripada simulator itu dipercayai dipadamkan pada 3
Feb lepas.
"Tiga jenis permainan dalam simulator itu adalah 'flight simulator X', 'flight
simulator 9' dan 'X flight 10'," katanya pada sidang media harian mengenai
perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat MH370 di sini.
Sidang media itu dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari
Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk
Azharuddin Abdul Rahman.
Simulator itu diambil pada 16 Mac lepas dari rumah Zaharie di Shah Alam
untuk dibawa ke Bukit Aman dan diperiksa, dengan harapan memberi
penunjuk bagi mencari pesawat itu.
Khalid juga berkata data yang dipadam itu akan diperoleh semula melalui
kaedah forensik dengan melibatkan pakar dari CyberSecurity Malaysia,
pakar luar negara dan MAS.
Katanya keluarga Zaharie dan keluarga pembantu juruterbang Fariq Abdul
Hamid juga memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pen-
yiasatan berlangsung. Berita Rtm