Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan
pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu
kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang
Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua
yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat
perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta
kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat
Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun
saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat
berkenaan," katanya kepada Bernama.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya
mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila
usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan
sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat,
pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor
utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari
Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara
antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan,
Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia .
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti
Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan
badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti
Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur,
dalam bidang Antropologi sejak 2009.
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang
kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu
melibatkan keselamatan dan kepenggunaan.- Bernama