KUALA LUMPUR – Malaysia menafikan tuduhan media antarabangsa bahawa
ia tidak prihatin terhadap keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS)
MH370 kerana tidak menghantar wakil ke perjumpaan bersama keluarga
berkenaan di Beijing, China.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia amat prihatin dengan
keluarga berkenaan dan Kumpulan Kerja China juga telah mengadakan
perjumpaan dengan Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Saruddin
pada 8.20 malam, 13 Mac lepas.
Dalam perjumpaan itu, katanya kerajaan China diketuai oleh Timbalan
Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Beijing, Liu Zhi.“Turut menghadiri
perjumpaan itu ialah wakil-wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA),
MAS serta beberapa pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
“Semasa pertemuan tersebut, Liu memaklumkan kepada Datuk Iskandar
Saruddin bahawa atas tujuan keselamatan, beliau dinasihati supaya tidak
hadir dalam sesi taklimat bersama ahli keluarga mangsa,” kata Anifah dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata Liu menyatakan Iskandar hanya perlu hadir pada perjumpaan
itu.sekiranya ada maklumat baharu dan penting yang ingin disampaikan
contohnya, penemuan pesawat yang hilang itu.
Liu menasihati Iskandar demikian kerana kemungkinan berlakunya tindakan
luar kawalan oleh keluarga mangsa terhadap pegawai dari kedutaan termasuk
ke atas beliau, kata Anifah.
“Dalam hal ini, Duta Besar (Iskandar) memaklumkan kepada Liu bahawa
beliau bersetuju dengan nasihat pihak China supaya hanya menghadiri sesi
taklimat yang penting sahaja dengan keluarga mangsa,” katanya.
Pada masa sama, Anifah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada
masyarakat antrabangsa khususnya negara-negara Asean yang turut sama
terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat milik MAS itu.
Operasi mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, memasuki
hari kelapan hari ini setelah hilang pada Sabtu lepas. – BERNAMA