Sepang- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata berdasarkan
perkembangan terkini misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370,
pihak berkuasa telah mengubah tumpuan penyiasatan mereka kepada
anak kapal dan penumpang pesawat itu.
Beliau berkata pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan,
sebab kenapa penerbangan MH370 itu menyimpang daripada laluan
asalnya menuju ke Beijing, selepas disahkan bahawa pesawat yang
dilihat dalam data radar utama ialah MH370.
"Sepanjang tujuh hari lepas kami telah menjejaki setiap penunjuk dan
meneliti setiap kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka
yang terlibat, kami harap maklumat baharu ini akan membawa kita lebih
hampir kepada penemuan pesawat itu," katanya dalam taklimat media
di Sepang.
Datuk Seri Najib telah mengarahkan Kementerian Luar supaya memberi
penerangan penuh kepada kerajaan-kerajaan asing yang mempunyai
penumpang dalam pesawat berkenaan.
Belia juga mengarahkan pihak berkuasa Malaysia supaya berkongsi
semua maklumat yang berkaitan secara bebas dan telus dengan pasukan
penyiasatan yang lebih besar, negara-negara jiran dan rakan antarabangsa
yang menyertai operasi bersama itu.Setakat hari ini 14 negara, 43 buah
kapal dan 58 pesawat terlibat dalam pencarian itu.
Beliau berkata walaupun begitu hangat spekulasi yang disebarkan, pihak
berkuasa mempunyai tanggungjawab terhadap penyiasatan yang dilakukan
dan keluarga terlibat, untuk hanya mengeluarkan maklumat yang telah
dipersetujui dan disahkan bersama.mynewshub