KUALA LUMPUR – Pasukan khas dari China yang terdiri daripada para
pegawai berkedudukan tinggi, tiba di sini semalam bagi membantu usaha
mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370, yang hilang sejak Sabtu.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata pasukan yang dianggotai wakil parti politik dan menteri-menteri
berkaitan akan membantu dalam tiga aspek iaitu mencari pesawat, mem-
bantu dalam siasatan dua individu yang dikesan menggunakan pasport
palsu sebagai penumpang dan membantu keluarga penumpang pesawat
itu dari China.
Keluarga penumpang dari China yang akan dibantu ada yang telah tiba di sini
lebih awal, kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen selepas majlis
perasmian pembukaan penggal kedua Parlimen Ke-13 hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menunggu maklum balas hasil per-
bincangan dengan pihak-pihak terlibat seperti Polis dan Jabatan Imigresen
untuk melihat keperluan meningkatkan lagi protokol keselamatan di Lapangan
Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
“Ia melibatkan agensi lain juga, cuma saya belum sempat bercakap dengan
(Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, ketua polis
negara juga bersama kami dengan Jabatan Imigresen,” kata Hishammuddin,
yangjuga Menteri Pertahanan.
Beliau berkata perbincangan dengan agensi perisikan antarabangsa juga akan
dijalankan mengenai hal itu.Hishammuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak
menyembunyikan sebarang fakta daripada orang ramai mengenai apa sahaja
perkembangan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370.
“Jadi sesiapa yang bertanggungjawab dalam kenyataan akhbar akan
maklumkan pada masa yang sesuai dan kalau ada soalan-soalan
yang berkisar kepada fakta, tidak ada perkara yang kita (kerajaan)
tidak akan maklumkan kepada orang ramai, maksudnya tiada apa yang
disembunyikan pun,” katanya.
Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang (termasuk dua bayi)
dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan terputus hubungan
pada pagi Sabtu, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA di Sepang. Ia
sepatutnya dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi. – BERNAMA
sumber