PETALING JAYA – Hasil keputusan ujian sampel tompokan minyak yang
ditemui di Laut China Selatan semalam dijangka diperoleh selewat-lewatnya
petang ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Ahmad Ridzuan Ibrahim berkata
jabatan itu menerima sampel minyak tersebut daripada Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (Maritim), jam 9.40 pagi ini untuk dianalisis.Jabatan berkenaan, katanya, akan memberi keutamaan sepenuhnya dalam menganalisis 1.5 liter
sampel minyak itu.
“Sampel itu akan melalui tiga prosedur bagi mengenal pasti sama ada bahan
tersebut mengandungi kerosine (bahan bakar pesawat) atau tidak,” katanya
kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Ahmad Ridzuan berkata tiga prosedur utama akan dijalankan bertujuan
memastikan sampel minyak tersebut mengandungi ‘mineral oil’ yang boleh
diklasifikasikan sebagai bahan bakar pesawat.
Beliau berkata tiga prosedur itu membabitkan ujian pertama iaitu memastikan
sama ada sampel tersebut mengandungi ‘mineral oil’, peringkat kedua mengenal
pasti sama ada ketumpatan minyak itu ‘light oil’ atau ‘heavy oil’, dan peringkat
terakhir ialah proses pemprofilan bagi menentukan kategori minyak (kerosine,
diesel,atau petrol).
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang
serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, pada jam 12.41 pagi Sabtu.