KUALA LUMPUR: Vietnam telah menggantung operasi mencari dan
menyelamat pesawat MH370 di udara sementara menunggu Malaysia
untuk menjelaskan hala tuju baru dalam pencarian pesawat yang hilang
secara tiba-tiba pada Sabtu lepas.
Selain itu, menurut laporan AFP, operasi pencarian di laut turut dikecilkan
skalanya.
"Kami telah membuat keputusan untuk menggantung sementara beberapa
aktiviti mencari dan menyelamat, sementara menunggu maklumat daripada
Malaysia," kata laporan itu memetik kata-kata Timbalan Menteri Pengangkutan
Vietnam Pham Quy Tieu sambil menambah bahawa bot masih mencari kawasan
pearairan negara itu, tetapi pada skala yang lebih kecil.
Malaysia telah memperluaskan pencarian untuk pesawat yang hilang itu ke
Laut Andaman, ratusan kilometer ke arah barat laut dari radius pencarian
semula.
Sebelum ini akhbar Berita Harian melaporkan bahawa pencarian digerakkan ke
kawasan perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Perak, susulan ada isyarat
yang diterima oleh Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Butterworth.
Namun, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menafikan
laporan itu sambil berkata akhbar tersebut tersalah lapor.
“Kami sudah bertanya kepada pihak berkuasa Malaysia dua kali, tetapi
sehingga sekarang mereka tidak memberi jawapan kepada kami,” kata
Pham Quy Tieu apabila ditanya tentang laporan tersebut.
Sehingga ini, nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dan 12
anak kapal dari 14 negara termasuk Malaysia, masih tidak lagi diketahui.
Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu
dilaporkan hilang dari radar kira-kira pukul 1.40 pagi Sabtu.sumber