PESAWAT MH370 / PARLIMEN: Dewan Rakyat kecoh seketika apabila
beberapa ahli pembangkang mendakwa kerajaan gagal mengendalikan
insiden kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS) Sabtu
lalu selain memberi kenyataan bercanggah.
Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) mahu Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak datang ke dewan esok bagi memberi pen-
jelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian itu.
“Selepas lima hari, apa yang berlaku, kemungkinan kapal terbang
itu berada di dasar laut. Beri penjelasan, kalau boleh perdana
menteri dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein datang ke dewan esok,” katanya ketika
membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan
Rakyat, hari ini.
Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika mencelah perbahasan itu
berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab dan menerima teguran
pelbagai pihak di atas kelemahan dan kekurangan ketika mengen-
dalikan kes kehilangan pesawat itu.
Beliau mendakwa kerajaan dan pihak berkuasa lambat bertindak
sebaik sahaja menerima laporan kehilangan pesawat itu menye-
babkan masyarakat antarabangsa mengkritik kemampuan negara.
Tuduhan dan dakwaan bertubi-tubi itu menyebabkan berlaku per-
tikaman lidah di antara pembangkang dan penyokong kerajaan yang
meminta semua ahli Parlimen khususnya pembangkang agar tidak
menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata, adalah lebih
baik semua pihak tanpa mengira perbezaan latar belakang politik untuk
bersama-sama memikirkan penyelesaian terbaik dalam mencari
pesawat yang hilang itu.
“Ini masalah negara, masalah bersama, sepatutnya perkara seumpama
ini tanpa kita kira latar belakang politik kita mesti selesaikan secara
bersama dan tidak ada masa untuk kita tuding menuding dan salah
menyalahkan.
“Ini mana boleh sebut kemungkinan (pesawat) jatuh, kemungkinan
itu, kemungkinan ini, kerana ia soal krisis jadi mana boleh kita buat
andaian, mesti ada bukti yang sahih baru boleh buat pengumuman,”
katanya.
Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pula mengingatkan semua
wakil rakyat pembangkang supaya berhenti mempersoalkan cara
kerajaan bertindak dalam insiden pesawat MH370 itu sebaliknya
bersama-sama bermuhasabah diri dan berdoa untuk kebaikan semua
pihak. – Bernama