PUTRAJAYA: Dalam kesibukan petugas media tempatan dan antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370,
seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan RM15,000 apabila beg
miliknya dicuri di sebuah hotel di sini, Khamis.
Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV, sebuah
stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen perjalanan, dompet,
kad kredit dan pita rakaman kamera video.
Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya
hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda yang
terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar bersama
dua lagi Rakannya.
Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu.
Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini
sejak hari Rabu.
Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada
pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek dapat
dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil
beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk
membuat liputan di ruang lobi hotel.
“Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika
kita (petugas media) buat liputan berita.“Ada RM15,000 dan dokumen penting
seperti pasport dalam beg itu,” katanya kepada pemberita.
Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Putrajaya.Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid
ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Polis mengerakkan sepasukan enam anggota termasuk tiga anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi menyiasat kes kehilangan beg
wartawan dari Hong Kong itu.
Pasukan itu yang tiba kira-kira 8.30 malam, melakukan pemeriksaan kira-kira 30
minit di lobi sebuah hotel, iaitu tempat terakhir mangsa meletakkan begnya
ketika membuat liputan berkaitan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia
Airlines (MAS) sejak 8 Mac lepas.
Sementara itu di Sepang, jurufoto agensi berita antarabangsa European Press
Agency (EPA) Shamshahrin Shamsudin hilang satu set kamera digital bernilai
anggaran RM20,000 di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa KL
(KLIA).Shamshahrin, 43, berkata kecurian itu berlaku selepas beliau selesai
melakukan liputan sidang akhbar harian berkenaan kehilangan pesawat
berkenaan.
“Pada 7.20 malam, selepas saya siap kerja-kerja saya dan menunggu rakan
menyudahkan kerjanya, saya menerima panggilan daripada anak dan saya
meninggalkan kamera saya berserta barangan lain termasuk lens di dalam
beg dan diletakkan bersebelahan kawan saya itu.
“Selepas 20 minit menjawab panggilan, saya kembali ke tempat kawan saya
berada, namun menyedari kamera saya berserta lens telah hilang,” katanya
kepada Bernama.Pemangku Presiden Persatuan Jurufoto Media Malaysia
(MPPA) Norhaizat Abdul Samad dalam satu kenyataan Khamis malam berkata
kamera itu didapati dilarikan seorang suspek yang berada di ruang lobi hotel
kira-kira pukul 7 malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
yang dapat mengakses wajah suspek.
Beliau berharap keselamatan di kawasan itu dapat dipertingkatkan meman-
dangkan sejumlah besar jurufoto dan media bertugas membuat liputan berita
kehilangan pesawat MH370 itu, termasuk media antarabangsa.