Gambar dan laporan pesawat MH370 oleh ihsan Mymetro – MRM
LOKASI yang dipercayai bunyi letupan kuat pada hari kehilangan pesawat
MH370.
Marang: Lapan pemuda mendakwa terdengar bunyi yang kuat dari arah Timur
Laut Pulau Kapas, Marang pada hari kehilangan pesawat MH370.Kesemua
pemuda itu mendakwa terdengar bunyi letupan yang agak luar biasa dan
menakutkan ketika berehat di sebuah wakaf di Kampung Pantai Seberang
Marang, Marang kira-kira jam 1.20 pagi pada Sabtu lalu.
Alias Salleh, 36, berkata, sebaik mendengar letupan itu, dia bersama tujuh
rakannya bergegas ke tepi laut untuk meninjau dan mencari punca letupan
berkenaan tetapi tidak menemui sebarang kejadian pelik.
“Dalam keadaan tertanya-tanya, masing-masing mengambil keputusan untuk
pulang sahaja ke rumah dan mengabaikan bunyi misteri tersebut.
“Bagaimanapun, saya mula mengesyaki bunyi misteri itu mempunyai kaitan
dengan kehilangan pesawat itu sejurus menerima berita berhubung insiden
berkenaan yang disiarkan di dalam media elektronik secara meluas kira-kira
jam 11 pagi, hari yang sama sebelum membuat laporan di Balai Polis Marang
pada jam 10.28 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa yang dihubungi
mengesahkan ada menerima laporan berhubung bunyi misteri itu dan menyerah-
kan laporan itu kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.
“Sehingga kini, kita serahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan susulan dan
hanya menunggu arahan selanjutnya.
“Ini kerana pengadu mendakwa hanya terdengar bunyi letupan tetapi tidak
nampak sebarang objek,” katanya.
Dalam pada itu, dua kaki pancing mendakwa turut melihat cahaya lampu
putih yang berkelip dipercayai dari sebuah pesawat yang terbang rendah pada
awal pagi Sabtu lalu di Pantai Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Zaidi Mohamad, 49, berkata, dia melihat lampu putih yang berkelip ketika
memancing bersama rakannya, Mohd Jasmin Mokhtar, 46, di pantai berkenaan
kira-kira jam 2.30 pagi sebelum ia Hilang.
Katanya, lebih pelik lagi, 10 minit kemudian, Zaidi mendakwa turut melihat
cahaya terang berwarna kuning bentuk bulat selama kira-kira setengah jam
pada jarak kira-kira 10 batu nautika dari kedudukan tempat dia memancing.