Melaka – Seorang ibu tidak menyangka khidmat pesanan ringkas (SMS) ‘Selamat jalan’ dan ‘Lagi
satu kali tak SMS. Awak boleh sembahyang untuk anak’ yang diterimanya, kelmarin membawa
petanda anak bongsunya mati dibunuh selepas diculik lelaki tidak dikenali.
SMS itu diterima A Letchumy, 44, ibu kepada M Gunaseelan, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir yang ditemui mati dengan kedua-dua tangan dan kaki
diikat pada kerusi di tingkat satu sebuah rumah kedai di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam,
di sini, kelmarin.
Bapa mangsa D Murugan, 52, berkata, mereka hanya mengetahui Gunaseelan diculik selepas
isterinya menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku menculik mangsa
dan menuntut wang tebusan RM20,000 kira-kira jam 7 malam, Ahad lalu.
“Pada pagi hari kejadian saya keluar ke pasar borong untuk membeli sarapan dan lauk, namun
sebaik pulang Gunaseelan sudah tiada di rumah. Apabila sehingga petang dia tidak pulang kami
menyangkakan dia ke kafe siber berhampiran.
“Namun, sejurus selepas isteri menerima panggilan telefon itu, bimbang dengan keselamatannya
kami mencarinya di kawasan sekitar sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam,”
katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.