TELOK PANGLIMA GARANG – A Amirtham, 60, ibu kepada penumpang
pesawat MH370, S Puspanathan meluahkan rasa terkejut mendengar suara
operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya, selepas sarapan
pagi semalam.
Bercerita lanjut, ibu yang masih mengharapkan kepulangan anaknya itu mem-
beritahu, sebelum ini, setiap kali mendail nombor telefon Puspananthan, hanya
respons error yang tertera. Tetapi sebaliknya berlaku, semalam.
“Saya sangat terkejut dengar bunyi ‘nombor yang anda dail tidak dapat
dihubungi’.Sebab sebelum ini kalau saya dail nombor dia, tiada bunyi
apa-apa kemudian keluar perkataan error. Tapi hari ini (semalam) bila saya
dengar suara operator, saya betul-betul terkejut,” katanya.
Amiratham berkata, kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dia tergerak hati mendail
nombor anaknya itu selepas menikmati sarapan kuey tiaw goreng yang juga
makanan kegemaran Puspanathan.
Dia kelihatan sebak ketika menceritakan kejadian itu sambil mengakui bukan
ingin menolak segala kemungkinan yang berlaku. Tetapi dia dan keluarga
masih mengharapkan kepulangan Puspanathan walaupun lambat.
Dia memberitahu, jika selepas ini nombor telefon anaknya itu tidak aktif lagi, dia
akan terus mendailnya, dan itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama ke-
hilangan pesawat MH370 dilaporkan, 8 Mac lalu.
“Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah sebulan
berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat.
“Saya nak tengok anak saya di depan mata, tak kisahlah dia dalam keadaan apa
sekali pun. Saya percaya masih ada harapan,” katanya yang mulai tenang
menjawab pertanyaan wartawan.
Dalam pada itu, Amirtham memaklumkan dia juga mesti mengambil sikap
berjaga-jaga apabila menerima kunjungan orang awam kerana risau
kejadian tidak diingini berlaku kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas
mendengar berita salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat MH370
terlibat dalam kejadian samun.
“Saya kena berhati-hati sama ada berseorangan atau ketika bersama
saudara-mara di rumah. Apa-apa boleh berlaku. Memang kadang kala saya tak
benarkan orang yang tidak dikenali masuk, termasuk pemberita,” katanya.
Sementara itu, adik kepada seorang lagi penumpang MH370, Zurihan Yusop, 43,
ketika dihubungi semalam memaklumkan dia juga cuba menghubungi abangnya
Muzi, 50, namun tiada perubahan pada talian abangnya itu.
Katanya, dia masih mendengar suara berkomputer menyebut ‘nombor yang
anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi.’
“Dari mula kehilangan pesawat, sehingga hari ini saya cuba dail, ia tetap sama
dan tidak aktif,” katanya. – SINAR HARIAN