KUALA LUMPUR: Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara
Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali
lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram.
Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa
disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan
MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.
“Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar,”
tulisnya.
Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan “masih
ada” dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang.
Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro
Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya
bilakah bapanya akan pulang.
Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil
untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas.
Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakanakan tidak boleh mengawal perasaan
dan menjerit jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar,Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi
dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini.
“Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu,”
ujar waris berkenaan.
Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian.
“Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’ pun jadilah.
“Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung.
Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap
seribu bahasa,” jelasnya.
Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala
Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan
Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari
Yahya.
“Saya tak tahan dengar dan terus balik,” katanya.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris
Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan
kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam
masa terdekat.
Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya
dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi.
Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumum
kan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu.
- ASTRO AWANI