KUALA LUMPUR:Sebuah kapal peronda China, Haixun mengesan isyarat getaran
dengan frekuensi 37.5 kHz di kawasan carian pesawat penerbangan MH370 di
selatan Lautan Hindi, lapor agensi berita Xinhua.
Sebuah syarikat pengeluar 'pinger' memberitahu CNN, frekuensi itu adalah isyarat
yang standard daripada kotak hitam atau secara khusus perakam suara kokpit
dan perakam data penerbangan.
"Frekuensi itu sama," kata Anish Patel, presiden syarikat Dukane Seacom
kepada CNN.
Penemuan terbaru ini bagaimanapun belum disahkan oleh Pusat Penyelarasan
Agensi Bersama di Perth yang menyelaraskan gerakan mencari pesawat
Malaysia Airlines itu di selatan Lautan Hindi.
Pakar bagaimanapun mengingatkan isyarat itu mungkin boleh jadi datang
daripada benda lain selain daripada pesawat.
Perkembangan ini menyusul selepas 29 hari pesawat Boeing 777-200 itu
hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac
lepas.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
beberapa jam sebelum laporan Xinhua itu terbit mengumumkan pembentukan
tiga jawatan kuasa kabinet untuk menangani isu kehilangan pesawat
Malaysia Airlines itu,laporan menyusul.-astro awani