PENYANYI rock tanah air, Amy Search dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan
Projek Amal Selangor dan Kuala Lumpur hari ini menyumbangkan 240 buah buku
kepada Perpustakaan Kampung Bukit Mat Inson di sini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata program itu
merupakan satu daripada cara untuk berbakti semula kepada masyarakat yang
banyak menyokong kerjayanya sejak bergelar artis pada tahun 1980-an.
"Sudah 30 tahun saya berada dalam industri muzik, dengan program seumpama
ini, dapatlah saya menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan
bantuan."Saya dapat tahu kampung ini memerlukan bahan bacaan untuk
diletakkan di perpustakaan baharu mereka, jadi sebab itulah kami
menyumbangkan buku ini," katanya kepada pemberita di perpustakaan itu di sini
Sumbangan itu juga merupakan satu daripada program yang dijalankan
sempena siri jelajah 'Amy Search Jelajah Pendang Bersama Komuniti' yang
dijalankan selama dua hari bermula hari ini. - Bernama