Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang daripada menunaikan ibadah
umrah di tanah suci Mekah mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat yang
besar berwarna perak di perairan Laut Andaman, dipercayai penerbangan
Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac, ketika pesawat yang dinaikinya
melintasi kawasan berkenaan pada pagi hari sama.
Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata ketika dia menyaksikan objek besar yang
sebahagian daripada badan yang didakwa sebagai pesawat itu tenggelam dan
sebahagian lagi timbul, beliau memaklumkan kepada ramai pihak di dalam
penerbangan berkenaan tetapi tidak diendahkan.
Raja Dalelah berkata dia menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang
berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu
Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India dan
memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap pesawatnya
satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut.
“Saya nampak macam kapal terbang.Sepanjang perjalanan pulang saya sentiasa
melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan ketika lawatan
saya ke Beijing dua tahun lalu juga tidak dapat tidur di dalam pesawat dan
sentiasa berjaga," kata ibu kepada 10 orang anak itu dipetik daripada portal
Mstar Online.
Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu dia
terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat di atas
lautan itu, skrin televisyendi hadapannya menunjukkan yang mereka sedang
melintasi Laut Andaman.
“Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau kecil
dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas air.Saya
mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya saksikan tetapi
malangnya mereka mentertawakan saya," katanya.
Raja Dalelah, bagaimanapun yakin apa yang disaksikannya itu adalah bangkai
sebuah pesawat yang besar."Buat apa saya hendak bercakap bohong saya baru
sahaja balik dari umrah," katanya.
Hanya pada 14 Mac lalu dia membuat laporan polis akan apa yang didakwa
disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang mengambil apa yang
dikatakannya itu secara serius.Malah Raja Dalelah masih boleh menjelaskan apa
yang disaksikannya itu secara terperinci.
Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian besar
lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang senget
sebelah.
“Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang
waktu Malaysia),” kata beliau.Raja Dalelah berkata, apabila tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia
menceritakan apa yang disaksikannya itu kepada anaknya.
“Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370
hilang dan sedang dicari."Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang saya
menyaksikan sebuah pesawat yang terhempas dan meminta saya supaya
membuat laporan polis," katanya sambil menambah "anak-anak saya yang
lain khuatir yang saya mungkinakan ditahan kerana membuat laporan palsu
kerana pada awalnya semua orang berkata yang pesawat itu kali terakhir dilihat
di Laut China Selatan."
Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula percaya
selepas pesawat itu disahkan berpatah balik dan hilang di sebelah barat dan
bukannya Laut China Selatan.Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam
penerbangan jarak jauh seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian
sesebuah pesawat adalah pada 35,000 kaki.
"Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak lebih
kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat melihat
dengan jelas apaapa objek di permukaan bumi atau pun di atas air," kata
juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan, seperti dilaporkan Mstar.
Pesawat Boeing 777200 ER ketika hilang membawa 239 penumpang termasuk
anak kapal dalam perjalanan ke Beijing, China.-sumber