Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar khas malam
ini mengesahkan bahawa MH370 terhempas di Selatan Lautan Hindi.
MH370 terbang ke koridor selatan dan berakhir di kawasan 2,500 kilometer
dari bandar Perth, Australia.
Ia dirumus berdasarkan kajian mendalam ke atas data satelit yang dikumpul
sejak beberapa hari lalu.
“MH370 terbang ke koridor selatan dan posisi terakhir adalah di selatan Lautan
Hindi.
“Dengan kesedihan dan kekesalan yang mendalam, saya ingin memaklumkan,
dengan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi,”
katanya di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Keluarga penumpang yang terlibat kata beliau telah dimaklumkan mengenai
rumusan itu.
Jelas beliau, sidang akhbar berkaitan perkembangan baru itu akan dibuat esok
bagi memberikan lebih banyak maklumat.
Beliau bagaimanapun meminta pihak media akan menghormati privasi keluarga
para penumpang yang terlibat.
Tambah Najib, berita itu pasti menyedihkan pihak keluarga dan beliau meluahkan rasa simpati yang amat kepada semua waris mangsa.-mynewshub