PUTRAJAYA – Abang kepada seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines
penerbangan MH370 enggan pulang ke kampung selagi tidak mendapat bukti
mengenai kehilangan pesawat itu.
Chng Khai Ling, 37 berkata bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapanya
walaupun maklumat terkini mengatakan penerbangan pesawat berkenaan telah
berakhir diLautan Hindi.
“Apalah yang boleh dikatakan kepada ibu bapa di kampung selagi tiada bukti,
takkan saya mahu pulang dengan tangan kosong”, kata Khai Ling ketika ditemui
pemberita di sini hari ini.
Adiknya, Mei Ling seorang jurutera adalah antara 227 penumpang termasuk 12
krew yang menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China yang
hilang sejak 8 Mac lepas.
“Sejurus pengumuman, ibu menangis, ia buat kami sekeluarga sedih, sehingga
kini kami masih tidak percaya. Namun kalau jumpa bukti, kami boleh menerim-
anya dan buat masa ini kami masih menaruh harapan,” katanya.
Penerbangan MH370 hilang daripada skrin radar kira-kira sejam selepas berlepas
dari LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah
malam 8 Mac lepas dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Beliau berkata pada kebiasaannya adiknya yang merupakan anak ketiga itu akan
pulang ke rumah keluarga mereka di Sungai Petani, Kedah tetapi kali ini tidak
sempat untuk berbuat demikian.
“Kami adik beradik sangat rapat dan berharap bukti dapat ditemui segera dan
bersedia untuk ke Australia jika bukti telah ditemui,” kata abang sulung kepada
lima beradik itu. – BERNAMA