KUALA LUMPUR - Serpihan serpihan kecil termasuk sekeping palet kayu
dikesan oleh sebuah pesawat yang terbabit dalam pencarian MH370 di selatan
Lautan Hindi, lapor Agensi Berita Xinhua.
Laporan itu memetik Perdana Menteri Australia Tony Abbott sebagai berkata
bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengaitkan serpihan tersebut dengan
pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lepas.
"Semalam, satu daripada pesawat awam kami yang terbabit dalam pencarian itu
mengesan beberapa objek di satu kawasan kecil dalam zon pencarian Australia.
"Akan tetapi sebelum kita boleh berbicara secara khusus tentang objek itu, kita
perlu mengambilnya dahulu. Masih terlalu awal untuk benar-benar pasti,"
katanya kepada pemberita di Papua New Guinea pagi Ahad.
Laporan Xinhua menerusi laman sesawangnya http://news.xinhuanet.com/
english itu turut memetik Abbot sebagai berkata empat lagi pesawat iaitu
masing-masing dua dari China dan Jepun akan menyertai pencarian di
kawasan berkenaan.
Mengenai imej yang dicerap oleh satelit China, beliau berkata cerapan itu
membayangkan objek tersebut sangat besar. Katanya harapan bahawa pihak
berkuasa mungkin dapat menyelesaikan misteri kehilangan pesawat tersebut
semakin meningkat. - Bernama