SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein hari ini berkata pesawat dan kapal telah dihantar untuk men-
gesahkan maklumat mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada
kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi
Australia di Hotel Sama-Sama di sini, Hishammuddin berkata maklumat itu
memberi penunjuk baharu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat
itu yang masuk hari ke-13 hari ini.
"Seperti yang telah saya lakukan dari hari pertama, kita akan mengikuti setiap
petunjuk baharu. Marilah kita berharap ini adalah perkembangan positif," kata-
nya, dan menambah kata adalah terlalu awal untuk mengesahkan lokasi objek
itu ditemui.
Ditanya apakah jenis objek yang ditemui dan berapa lama akan mengambil
masa untuk mengesahkannya, Hishammuddin berkata: "Kami tidak tahu.
Pesawat dan kapal telah dihantar.
"(Ia) seperti yang kami lakukan dengan penemuan imej dari satelit China dan
lain-lain objek yang memberi penunjuk awal. Kita menggunakan kaedah sama,"
katanya. Hishammuddin enggan mendedahkan apakah maklumat yang disampai-
kan oleh kerajaan Australia hari ini.
Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa
imej satelit telah menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat
Malaysia yang hilang pada 8 Mac, menurut agensi berita Reuters.
Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "
bahawa maklumat baharu dan kredibel telah diperoleh berhubung misi mencari
di selatan Lautan Hindi."
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan
12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan
Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam
sebelumnya. Ia di-jadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari
yang sama. - Bernama