Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau adalah
individu yang paling layak untuk menjawab persoalan berhubung
kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines, MH370 berbanding
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana pemimpin nombor
satu negara itu takut untuk berdepan dengan pertanyaan daripada
media antarabangsa.
Ketua Umum PKR itu menegaskan, kehilangan pesawat dengan 239
penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu melihatkan keupayaan
sebenar kepimpinan negara dalam menguruskan krisis sedemikian,
yang dianggapnya sebagai “lemah dan tidak tegas”.
“Kalau orang tidak boleh bertanya orang nombor satu di Malaysia, hendak
tanya siapa lagi. Beliaulah bertanggungjawab.“Saya hairan sebab satu
dunia mengatakan beliau tidak sanggup berhadapan dengan media antara-
bangsa,” katanya ketika berceramah semasa kempen bagi isterinya Datuk
Seri Dr Wan Azizah Ismail yang merupakan calon Pakatan Rakyat (PR)
bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang
di Sungai Kantan, Kajang malam tadi.
Sebagai perbandingan, Anwar berkata, media asing kini lebih selesa
untuk menemubual beliau kerana kemampuan beliau untuk menjawab
berkenaan persoalan tersebut.
“Esok (hari ini) pukul tiga ada lagi media nak wawancara saya sebab mereka
kata kalau wawancara saya, saya boleh jawab, kalau wawancara Najib, beri
kenyataan sahaja. Jadi lebih baik saya ganti beliau,” katanya.
“Dalam kes MH370 ini, selain mendoakan keselamatan mereka, kita tahu
betapa berkecamuk, lemahnya pimpinan negara ini khususnya perdana menteri
yang pada hemat saya tidak layak terus memimpin negara kita,” katanya lagi.
(sumber The Malaysian Insider)