NEW DELHI: Tentera Laut India memperluas pencarian pesawat Malaysia
Airlines MH370 yang masih hilang hingga ke pantai Chennai di bandar raya
selatan India.
Corak pencarian semasa MH370 oleh Tentera Laut India. Dua kawasan baharu
ditambah pada Jumaat bersama-sama pantai Chennai, kata koresponden
pertahanan The Indian Express, Manu Pubby, dalam tweet beliau.
Menurutnya belum ada maklumat kukuh mengapa pencarian MH370 diperluaskan
hingga ke pantai Chennai.
Pegawai dan anggota Tentera Laut, Tentera Udara dan Pengawal Pantai India
digembleng dalam usaha mencari pesawat itu yang meliputi kawasan dari Laut
China Selatan hingga ke Laut Andaman.
Pantai Chennai terletak kira-kira 900km dari Laut Andaman, kata Manu yang
turut memaparkan gambar bagi menunjukkan jarak kawasan itu dalam tweet beliau.
India menggunakan dua pesawat C-130 dan sebuah helikopter Mi-17 V5 Tentera
Udara selain Dornier dan P8i iaitu pesawat peninjau maritim Tentera Laut.